Jenayah & Mahkamah

Chegubard mengaku tidak bersalah atas pertuduhan fitnah, hasutan

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mengaku tidak bersalah atas pertuduhan fitnah dan hasutan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Badrul yang berpakaian baju Melayu berwarna hijau tiba di mahkamah pada jam 9.19 pagi ini telah dituduh di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.

“Mengaku tidak bersalah,” katanya sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Pihak pendakwaaam kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga kes selesai.

Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Rafique Rashid Ali memohon agar jumlah jaminan dikurangkan susulan denda maksimum bagi kes hasutan hanya RM5,000.

Beliau juga membantah syarat tambahan yang dicadang oleh pihak pendakwaan dengan alasan perintah larangan tersebut bersifat tidak khusus.

“Kita mempunyai media yang perlu melaporkan kes ini dan kes ini berkepentingan awam kerana menyentuh isu-isu perlembagaan, kerakyatan dan politik,” hujahnya.

Hakim kemudian menetapkan jumlah jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menolak syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Permohonan syarat tambahan untuk satu perintah larangan adalah tidak dibenarkan,” kata Hakim Siti Aminah Ghazali.

Sebutan semula kes pada 27 Mei depan.

Kelmarin, Rafique dilaporkan berkata, Badrul ditahan di IPD Dang Wangi susulan kenyataan beliau berkaitan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.

Terdahulu, Bloomberg melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri serta Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, dengan Anwar menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.

Memetik laporan itu, pembukaan kasino akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion itu.

Badrul dalam catatan Facebooknya mendakwa kasino itu adalah “hab kewangan” yang diumumkan Anwar sebelum ini.

Anwar yang juga menteri kewangan sebelum ini mengumumkan zon kewangan khas akan diwujudkan di kawasan Forest City bagi merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Johor.

Show More

Related Articles

Back to top button