Berita SemasaJenayah & MahkamahPolitik

Anak ditahan SPRM: AMK gesa Menteri Besar Perlis letak jawatan

KANGAR – Angakatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menggesa Menteri Besar Mohd Syukri Ramli untuk bertanggungjawab dengan meletak jawatan susulan penahanan anaknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin berkata, perbuatan itu tidak seharusnya berlaku dan pihaknya mengutuk serta mengecam sekeras-kerasnya sebarang salah guna kuasa dan rasuah di negeri itu.

“Isu utamanya, adakah jumlah tuntutan palsu bernilai RM600,000 termasuk tuntutan palsu yang dikaitkan dengan Institusi Diraja Perlis.

“Wajar diingatkan bahawa ini satu-satunya kes seumpamanya sepanjang 181 tahun terbentuknya negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Azzin turut mempersoalkan slogan bersih dan stabil yang digunakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang seperti ‘cakap tidak serupa bikin’.

Beliau berkata, ini kerana tidak sampai satu penggal, anak kepada pemimpin tertinggi negeri pula ditahan oleh SPRM.

Sementara itu Azzin berharap SPRM dapat menjalankan siasatan dengan penuh komited, jujur dan telus tanpa ada gangguan daripada mana-mana pihak.

“Ini kerana, siasatan turut melibatkan anggota keluarga Menteri Besar Perlis serta pegawai beliau,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button