Berita Semasa

KPM jamin kebajikan 10 anak mangsa nahas helikopter terbela

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan memberi jaminan akan memberi pembelaan kepada semua anak-anak anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter 23 hari bulan lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengenal pasti seramai 10 orang anak wira negara yang sedang belajar di sekolah kendalian kementeriannya untuk diberikan bantuan yang sewajarnya.

Beliau berkata, pembelaan dari segi pendidikan dan kebajikan akan diberikan kepada mereka sehingga mereka tamat persekolahan.

“Kementerian (KPM) akan teruskan dari segi pembelaan dalam sudut pendidikan, begitu juga bantuan khususnya mengenai pendidikan mereka susulan tragedi yang mengorbankan insan tempat mereka bergantung harapan.

“Kita beri tumpuan penuh kepada pendidikan mereka secara keseluruhannya dan kita tahu mana mereka bersekolah, kebajikan mereka akan dijaga,” katanya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka anjuran pusat khidmatnya di sini, malam tadi.

Fadhlina berkata, sumbangan kepada anak-anak mangsa akan disalurkan menerusi Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan Yayasan Didik Negara.

Dalam tragedi pada Selasa lalu, negara kehilangan 10 wirawan dan wirawati apabila dua helikopter bertembung di udara semasa sesi latihan sambutan Ulang Tahun TLDM ke 90.

 

Show More

Related Articles

Back to top button