Berita Semasa

Chegubard ditahan susulan kenyataan berkaitan kasino Forest City

PETALING JAYA – Aktivis Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, ditahan susulan kenyataanya berhubung laporan Bloomberg mendakwa perbincangan diadakan mengenai pembukaan kasino di Forest City, Johor.

Peguamnya, Rafique Rashid Ali berkata, Badrul ditahan di IPD Dang Wangi dan pihak polis akan memohon perintah reman esok.

“Chegubard kini ditahan di IPD Dang Wangi. Tangkapan terkait dengan posting di Facebook beliau berkaitan dengan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.

“Siasatan dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, Bloomberg melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, dengan Anwar menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.

Memetik laporan itu, pembukaan kasino akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion itu.

Badrul dalam catatan Facebooknya mendakwa kasino itu adalah “hab kewangan” yang diumumkan Anwar sebelum ini.

Anwar yang juga menteri kewangan sebelum ini mengumumkan zon kewangan khas akan diwujudkan di kawasan Forest City bagi merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Johor.

Show More

Related Articles

Back to top button