Berita SemasaPolitik

PRU16: UMNO sokong cadangan kekalkan Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA – UMNO menyokong semua inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta kemakmuran negara, kata Presidenya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah penting bagi Kerajaan Perpaduan sedia ada mempertahankan kestabilan politik di negara ini.

“Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah medan untuk terjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan 18 parti ini dapat dipertahankan,” katanya.

“Pada hemat saya, 152 Ahli Parlimen yang ada sekarang yang memperlihatkan lebih daripada dua pertiga majoriti mesti dipertahan dan kaedah untuk mempertahankannya adalah pelbagai serta mempunyai pendekatan yang juga pelbagai,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Syawal bersama Timbalan Perdana Menteri, di Sri Satria, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat PKR yang ingin mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada penggal akan datang.

Tambah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, dalam membangunkan negara, aspek ekonomi perlu dijana dengan baik, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Gaji penjawat awam sedang dalam kerangka untuk diumumkan dan sebagaimana yang kita ketahui, selepas 12 tahun kita akan melihat skema gaji ini akan memberikan peluang kepada penjawat awam untuk terus mempertingkat produktiviti.

“Saya harap dengan ekonomi yang baik, sektor swasta juga akan melakukan perkara sama,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button