Berita Semasa

Akta Laut Wilayah 2012 sah di sisi Perlembagaan walaupun ditolak Terengganu

PUTRAJAYA – Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) adalah sah dan masih terpakai di seluruh negara walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menolak akta tersebut baru-baru ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Akta 750 digubal bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan memelihara sempadan wilayah.

“Ingin ditegaskan, adalah menjadi pendirian
Kerajaan Persekutuan bahawa Akta 750 telah dibuat dan diluluskan olen Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun DUN Terengganu telah membuat keputusan menolak pemakaiannya, namun ia masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di negeri Terengganu, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah,” katanya.

“Penggubalan Akta 750 juga memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS),” katanya.

Akta Laut Wilayah 2012 menghadkan sempadan bagi negeri untuk menerokai sumber sejauh tiga batu nautika atau 5.5 kilometer sahaja dari kawasan pantai.

Tambah PMO, Kerajaan Persekutuan juga sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri termasuk Terengganu.

Khamis lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan DUN Terengganu menolak Akta 750 pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15.

Katanya, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

“Sementara itu, Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button