Berita Semasa

SSPA yang bakal diumumkan adalah paling baik pernah diperkenalkan – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan dalam waktu ini adalah yang terbaik pernah diperkenalkan di dalam negara.

Perdana Menteri berkata, meskipun skim itu membabitkan implikasi kewangan tertinggi, kerajaan akan mencari dana untuk membayarnya.

“Ini bukan masalah saudara, masalah kita semua untuk cari dana, tetapi masalah Menteri Kewangan… Saya akan berunding dengan Menteri Kewangan,” katanya dalam nada berseloroh hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri sesi Townhall Lebaran Aidilfitri bersama 2,400 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di sini.

Anwar berkata, kerajaan pimpinannya tidak pernah menganggap kajian SSPA sebagai suatu perkara ringan yang boleh dipandang enteng.

“Tidak benar kalau kata kita tidak beri perhatian (kerana) di dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) saya tekankan tidak mahu ada kelompok yang tersisih.

“Kita mahu ambil tindakan SSPA secara menyeluruh dan dilakukan bersama dengan reformasi penjawat awam,” katanya.

Insiatif Kerajaan Madani ini akan memanfaatkan kira-kira 1.5 juta penjawat awam pelbagai peringkat dalam satu transformasi yang belum pernah dilakukan mana-mana pentadbiran perdana menteri sebelum ini.

Show More

Related Articles

Back to top button