Berita SemasaJenayah & Mahkamah

SPRM sambung reman anak MB Perlis

KANGAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menyambung tempoh reman selama sehari lagi terhadap anak Menteri Besar Perlis dan empat suspek lain yang ditahan bagi siasatan kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Sambungan tempoh reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar selepas tempoh asal reman semua suspek tamat pada 25 April 2024.

Peguam yang mewakili semua suspek berusia 27 hingga 37 itu, Mohd Fadhly Yaacob berkata, ini adalah fasa sambungan reman yang terakhir buat anak guamnya.

“SPRM meminta tujuh hari sebagai tempoh sambungan reman namun pihak mahkamah hanya membenarkan sehari sahaja lagi.

“Setakat ini, hanya seorang anak guam saya dibebaskan daripada siasatan ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kangar.

Suspek yang dibebaskan itu merupakan pembantu teknik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan dipercayai berusia 20-an.

Semalam, anak Menteri Besar Perlis menjadi antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan kes pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ia melibatkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaikpulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga hari ini di mana menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

Show More

Related Articles

Back to top button