Berita Semasa

SPR saran bakal calon PRK Kuala Kubu Baharu isi borang, buat semakan awal

PUTRAJAYA – Semua bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu disaran mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor bagi memastikan kelancaran proses pada penamaan Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak juga menyarankan agar pembayaran deposit dibuat lebih awal dan resit pembayaran dibawa pada hari penamaan calon (HPC) sebagai bukti pembayaran.

“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

“Setiap bakal calon yang hadir ke pusat penamaan calon (PPC) hanya dibenarkan
diiringi oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC.

“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada HPC dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5],” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan dari pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di PPC di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Sementara itu katanya, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, ia bagi memastikan proses
penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar.

Show More

Related Articles

Back to top button