Berita Semasa

Pelantikan ahli lembaga baharu DNB kemajuan penting penstrukturan semula 5G

PUTRAJAYA – Perlantikan ahli lembaga pengarah baharu Digital Nasional Berhad (DNB), merupakan tonggak penting yang telah dirancang dalam Perjanjian Langganan Saham (SSA) bagi penstrukturan semula rangkaian 5G yang berkuat kuasa mulai 24 April 2024.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, melalui SSA itu ditandatangani antara DNB, Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO), iaitu Maxis Bhd, CelcomDigi Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd, pada 1 Disember, 2023 lalu.

“Tujuan SSA adalah untuk selaras dengan dasar Kerajaan yang diumumkan pada 2 Mei 2023 lalu, mengenai pertukaran dari model Rangkaian Borong Tunggal 5G (SWN) kepada model 5G secara Dwi Rangkaian (DN).

“Fasa pertama, rangkaian 5G DNB mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk dan penyertaan MNO dalam DNB.

“Kedua, peralihan kepada DN dan pelupusan ekuiti kerajaan (melalui MoF Inc) dalam DNB yang mana beberapa MNO akan kekal dengan DNB manakala MNO yang selebihnya akan berpindah ke rangkaian 5G kedua dan melepaskan ekuiti mereka dalam DNB,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, melalui aspirasi kerajaan yang dinyatakan dalam dasar agar SSA, proses penting dalam fasa pertama, membolehkan semua MNO menyertai DNB sebagai pemegang saham sebelum peralihan kepada 5G Dwi Rangkaian.

Gobind berkata, selepas pelantikan ahli lembaga DNB yang baharu, lembaga DNB yang dibentuk semula akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk menilai dapatan kajian terperinci dan berusaha memenuhi syarat-syarat duluan yang masih berbaki dan menyelesaikan SSA.

“Apabila SSA selesai, MNO dijangka secara kolektif melanggan 70 peratus ekuiti dalam DNB (14 peratus setiap MNO), manakala MoF Inc memegang baki 30 peratus ekuiti dan bahagian khas yang akan memberikan MoF Inc hak istimewa tertentu bagi satu tempoh yang ditetapkan,” katanya lagi.

Jelasnya, itu merupakan langkah penting ke arah memenuhi komitmen kerajaan untuk melaksanakan dasar 5G Dwi Rangkaian.

Dalam pada itu, pihaknya akan meneruskan proses yang sewajarnya meningkatkan penggunaan rangkaian 5G di Malaysia agar dapat mendorong pertumbuhan pesat dalam ekonomi utama negara.

Show More

Related Articles

Back to top button