Berita Semasa

‘Kalau anak saya didapati bersalah, hukumlah dia’ – MB Perlis

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bersikap terbuka terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak lelakinya yang ditahan reman sejak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu turut berkata, dia bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya berkaitan siasatan yang dijalankan.

“Saya hadapi ujian besar ini dengan tenang, saya terima ujian ini. Kalau anak saya didapati bersalah (selepas siasatan dilakukan), hukumlah dia. Saya sudah berikan ilmu secukupnya kepada dia, sebab itu saya tidak gundah gulana,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Beliau menambah, sekiranya hasil siasatan mendapati anaknya terbabit dalam kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lalu, SPRM berhak menghukum anaknya kerana tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.

Semalam, media melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis merupakan antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Keseluruhan projek melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Kesemua individu berusia antara 26 hingga 37 tahun direman sejak semalam dan dilanjutkan reman hingga Jumaat, namun hanya seorang suspek dibebaskan hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button