Jenayah & Mahkamah

Hina 10 wira negara, PDRM siasat pemilik akaun X buat hantaran jelik

Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung tindakan pemilik akaun X yang membuat komen jelik berkenaan nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak yang mengorbankan 10 wira negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah turut merampas sebuah telefon bimbit milik pemilik akaun ‘Saifuddin Shafik’ untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” kata Mohd. Shuhaily lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button