Berita Semasa

Buruh warga Indonesia maut disambar petir

MARAN – Seorang buruh ladang warga Indonesia mati akibat disambar petir ketika berteduh di bawah pokok ketika hujan lebat di ladang sawit di Felda Jengka 14, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 1:30 tengah hari, ketika mangsa bersama seorang rakannya berkerja di ladang sawit terbabit.

Mangsa yang dikenali sebagai Kamarudin, 40, dan berasal dari Lombok, Indonesia dilaporkan berteduh di bawah pokok rambai manakala rakan mangsa berlindung di bawah pokok sawit kerana hujan lebat.

Kata Mohamad Zamri lagi, rakan mangsa mendakwa ketika kejadian dia terdengar bunyi guruh kuat dan cahaya petir terkena kepala mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa terbaring dan tidak sedarkan diri di tepi pokok tempat buruh terbabit berlindung,

“Sejurus kejadian itu, rakan mangsa bergegas memeriksa buruh terbabit dan mendapati sudah meninggal dunia di lokasi kejadian,

“Susulan kejadian, rakan mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka pada pukul 17:39 petang semalam.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebaik mendapat laporan, lima anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemukan mayat buruh ladang terbabit dalam keadaan terbaring.

Menurutnya, pemeriksaan luaran ke atas tubuh badan simati dapati tiada sebarang kesan lebam atau luka boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat.

Katanya, pemeriksaan di persekitaran lokasi dapati terdapat kesan panahan petir pada pokok rambai tempat buruh ladang terbabit berteduh.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

Show More

Related Articles

Back to top button