Berita Semasa

Ribuan beri penghormatan terakhir kepada mangsa nahas helikopter

KUALA LUMPUR – Jenazah Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin selamat dikebumikandi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Jalan KL- Karak pada pukul kira-kira 10.30 malam ini.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati di sini tiba dengan disambut Pasukan Kawalan Jenazah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Majlis pengebumian turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dan Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Kira-kira 1,000 hadir di tanah perkuburan itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu proses bedah siasat ke atas 10 mangsa insiden helikopter terhempas yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak selesai pada 2.20 petang tadi.

Lapan jenazah daripada mangsa beragama Islam dibawa ke Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan mengikut permintaan keluarga masing-masing.

Manakala mendiang Leftenan T Sivasutan pula dibawa ke kediaman keluarganya di Sitiawan dan mayat Laskar Kelas JJM, Joanna Felicia anak Rohna akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak.

Sementara itu di Senawang, Negeri Sembilan, Jenazah Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dikebumikan kira-kira 10 malam di Tanah Perkuburan Forest Height.

Di Yan, Kedah jenazah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, pula selamat dikebumikan pada pukul 9.55 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat.

Allahyarham dikebumikan berhampiran pusara ibunya.

Di Larut, Perak, jenazah Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy selamat dikebumikan pada pukul 9 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Damak, Sungai Bayor.

Dianggarkan lebih 1,000 penduduk, termasuk rakan sekerja arwah hadir ke tanah perkuburan itu sejak jam 6.30 petang tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button