Luar Negara

Pengasas jenama kosmetik Mustika Ratu meninggal dunia

JAKARTA – Pengasas jenama kosmetik terkenal, Mustika Ratu yang juga tokoh terkemuka dalam jamu tradisional di Indonesia, Ibu Mooryati Soedibyo dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita pemergian Ibu Mooryati disahkan anak perempuannya, Putri Kuswisnuwardani kepada media Indonesia.

Pemergian Ibu Mooryati, 96, disifatkan satu kehilangan besar kepada Indonesia, khususnya dalam aspek pembangunan wanita, kecantikan dan kesihatan.

“Jenama herba yang berasal dari resepi Kerajaan Surakarta ini telah memberikan banyak manfaat untuk kesihatan masyarakat dan juga membanggakan Indonesia di luar negara,” kata bekas Duta Besar Indonesia ke New Zealand, Tantowi Yahya.

Mustika Ratu menghasilkan pelbagai produk kecantikan dan kesihatan yang dipasarkan di Indonesia dan luar negara, seperti di Asia Tenggara, Timur Tengah, dan Amerika Syarikat.

Sejak usia 3 tahun, Ibu Mooryati telah diperkenalkan dengan resepi kecantikan tradisional dan jamu di tempat asalnya iaitu Keraton Surakarta, yang terkenal sebagai pusat tradisi budaya Jawa.

Gemar meminum jamu sejak kecil, Ibu Mooryati berazam untuk mengembangkan ramuan herba resepi Keraton Surakarta hingga menjadi satu perniagaan.

Melalui PT. Mustika Ratu yang ditubuhkan pada 1973, Ibu Mooryati mula mengeksport produk herba dan kecantikannya ke 20 negara, termasuk Rusia, Belanda, Jepun, Afrika Selatan, Asia Barat, Malaysia, dan Brunei.

Ibu Mooryati juga menjadi pengasas Yayasan Puteri Indonesia pada tahun 1992 yang menjadi platform pemilihan Puteri Indonesia yang diadakan setiap tahun, selain turut berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Dewan Perundingan Rakyat bagi 2004 hingga 2009.

Ibu Mooryati turut diiktiraf oleh Muzium Rekod Indonesia (MURI) sebagai pemegang ijazah kedoktoran tertua di Indonesia dengan penganugerahan ‘Sarjana Perubatan Herba’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button