Berita Semasa

Cadangan larang kedai makan beroperasi 24 jam akan dikaji – Dr. Dzulkefly

PUTRAJAYA – Cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya kedai makan dilarang beroperasi 24 jam bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti di negara ini akan dikaji, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Laporan portal FMT menyebut Dr. Dzulkefly sebagai berkata, pihaknya perlu mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh terlebih dahulu bagi memastikan isu tersebut dapat dikaji secara menyeluruh, dengan syor penyelesaian yang mempunyai hala tuju jelas.

“Kertas cadangan akan disediakan untuk penelitian dan tindakan seterusnya oleh KKM (Kementerian Kesihatan) dan kerajaan,” kata Dr. Dzulkefly dalam laporan tersebut.

Mengenai dakwaan operasi kedai makan 24 jam merupakan antara punca utama obesiti di negara, Dr. Dzulkefly berkata, dakwaan itu harus dibuktikan secara empirikal melalui kajian yang objektif dan menyeluruh.

Ini kerana, katanya, dikhuatiri kumpulan-kumpulan tertentu seperti petugas barisan hadapan dan sebagainya yang bergantung kepada operasi kedai terbabit berdepan kesukaran jika perkhidmatan tersebut dihentikan secara pukal.

Cadangan penutupan itu juga tidak dapat menjamin pengguna akan mencari alternatif lain memandangkan ada dalam kalangan mereka mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah.

Sebelum ini, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader mencadangkan supaya pemberian lesen operasi 24 jam kedai makan dimansuhkan kerana kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Katanya, penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40 peratus daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dengan menyifatkan gesaan itu hanya sesuai dijalankan mengikut keperluan, lokasi serta gaya hidup masyarakat bagi memenuhi keperluan semua pihak.

Show More

Related Articles

Back to top button