Berita Semasa

Agong berkenan hadir ke Majlis Sulaman Kasih Aidilfitri Kementerian Perpaduan

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menghadiri Majlis Sulaman Kasih Aidifitri Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di sini hari ini.

KPN dalam kenyataan memaklumkan majlis bertemakan “Perpaduan Melalui Perayaan” itu diadakan sebagai platform warga KPN, jabatan dan agensi berkumpul dengan semangat perpaduan dalam suasana harmoni bagi meraikan perayaan Aidilfitri.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perpaduan, Negara Datuk Aaron Ago Dagang selaku tuan rumah; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Kewangan I, Senator Datuk Seri Amir; Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara (KS) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Sulaman Kasih Aidifitri Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tiba di Majlis Sulaman Kasih Aidifitri Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini.

“Kehadiran Sultan Ibrahim dan pemimpin tertinggi negara ini adalah sebagai tanda sokongan padu terhadap KPN dalam usahanya memartabatkan agenda perpaduan di negara ini serta kesungguhan kerajaan dalam memupuk semangat perpaduan dan kesepaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira satu jam bagi menikmati hidangan serta beramah mesra bersama tetamu yang hadir.

Majlis yang bermula pada jam 11 pagi hingga 2.30 petang itu turut diserikan dengan pelbagai jenis juadah seperti lemang, rendang, lontong, rojak pasembur, putu mayam, roti jala dan aneka kuih-muih.

Show More

Related Articles

Back to top button