Berita Semasa

Padam atau jangan sebar video nahas helikopter TLDM – MCMC

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat naik atau menyebarkan video insiden dua helikopter yang terhempas dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Sebagai badan berkanun yang mengawal selia penggunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian, MCMC ingin memaklumkan orang awam bahawa penghantaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri mengancam, menyakitkan hati atau mengganggu orang lain, adalah satu perbuatan yang dilarang di bawah AKM 1998.

“Justeru, MCMC ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat naik atau menyebarkan video insiden tersebut bagi mengelakkan apa-apa kesalahan dilakukan di bawah AKM 1998,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, MCMC juga menasihatkan mana-mana pihak yang telah memuat naik video melibatkan insiden berkenaan untuk memadamkannya.

Katanya, pengguna internet perlu lebih sensitif dan menghormati keluarga mangsa yang ketika ini sedang bersedih di atas kejadian yang menimpa ahli keluarga mereka.

Sementara itu, MCMC turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga seluruh mangsa yang terlibat dalam nahas itu.

Terdahulu pagi tadi, pesawat HOM (M503-3) dan AS550 Fennec yang membawa tujuh kru terhempas di stadium kem berkenaan manakala pesawat Fennec yang membawa tiga kru terhempas di kawasan kolam renang kem.

Kedua-dua helikopter itu dilaporkan berlepas dari padang Sitiawan pada pukul 9 pagi tadi sebelum bertembung ketika melakukan pergerakan akrobatik ketika melintasi ruang udara kem berkenaan.

Menurut pihak polis, jasad kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk proses bedah siasat.

Show More

Related Articles

Back to top button