Berita Semasa

Jangan terlalu gopoh bawa perubahan – Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Perdana Menteri dan juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan parti itu tidak akan bersikap gopoh dalam melaksanakan janji-janji reformasi demi untuk membawa perubahan.

Beliau berkata, kegagalan bertindak secara bijaksana atau terlalu gopoh hanya akan mengorbankan kepentingan parti dalam jangka masa panjang.

“Saya akui wujud harapan menggunung untuk Kerajaan MADANI melaksanakan janji-janji reformasi.

“Namun saya tidak pernah kompromi soal perjuangan reformasi yang menjadi identiti KEADILAN, bahkan ia sedang berjalan.

“Ketika ini, Malaysia sudah punyai badan kehakiman dan penguat kuasa yang bebas daripada campur tangan politik,” katanya melalui amanat kepada pimpinan dan anggota Keadilan sempena Konvensyen 25 tahun di Shah Alam, semalam.

Konvensyen 25 Tahun Keadilan yang dihadiri oleh pemimpin dan juga ahli parti di Shah Alam, semalam.

Anwar berkata, walaupun PKR sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pada hari ini, pemimpin dan ahli tidak seharusnya terpakau dengan kuasa yang dimiliki.

“Sebaliknya kita perlu terus menjulang serta menyemarak perjuangan reformasi dan memastikan parti keramat ini menjadi gergasi dalam sistem politik negara.

“Sebab itu saya mengingatkan semua anggota di peringkat nasional, negeri, cabang mahupun ranting supaya terus perkukuh jentera parti dengan memantau secara dekat setiap pelaksanaan program.

“Saya juga telah arahkan pimpinan parti untuk membantu jentera di bawah bagi memberikan penerangan terkait agenda serta insiatif Kerajaan Madani kepada masyarakat keseluruhannya, ” katanya.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Tambun itu menyeru kepada seluruh jentera parti supaya bersama-sama dengan gabungan Kerajaan Perpaduan menangkis gerakan yang cuba menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button