Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Rayuan pendakwaan terhadap keputusan kes kematian Zulfarhan didengar 14 Mei ini

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan tiga hari bermula 14 Mei bagi mendengar rayuan keputusan Mahkamah Tinggi, yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyebabkan kematian tanpa niat, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Muhammad Najib Mohd Razi selaku responden berkata, prosiding pendengaran rayuan itu, ditetapkan pada 14 hingga 16 Mei ini.

“Mahkamah juga akan mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima daripada enam bekas penuntut UPNM itu, serta 12 rakannya kerana mencederakan Zulfarhan,” katanya selepas prosiding hari ini.

Prosiding panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan pihak pendakwaan, untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, memaklumkan tiada bantahan daripada pihak responden terhadap permohonan tersebut.

Kesemua 18 bekas penuntut UPNM yang kini berumur 28 tahun, hadir pada prosiding hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button