Jenayah & Mahkamah

Jabatan Peguam Negara bawa afidavit Tengku Zafrul kepada perhatian mahkamah

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan membawa permohonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung Afidavit Tambahan No 3 kepada perhatian pihak mahkamah.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan perkara tersebut selepas merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan Tengku Zafrul, hari ini.

“Merujuk kepada kenyataan media dikeluarkan Tengku Zafrul bertarikh 17 April 2024 mengenai Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No WA-25-136-04/2024.

“Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan akan memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit tambahan yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar Zafrul, beliau yang telah mendapatkan nasihat undang-undang sesuai berhubung afidavit Ahmad Zahid itu berkata, tindakannya itu bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung.

Hari ini, Ahmad Zahid, yang juga merupakan Presiden UMNO mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah oleh Zafrul.

Ahmad Zahid juga dilaporkan berkata, Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang diambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

Show More

Related Articles

Back to top button