Suspek kes tembak di KLIA miliki 4 kad pengenalan
KOTA BHARU – Suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) baru-baru ini memiliki empat keping kad pengenalan milik individu lain.
Salah satu daripada kad pengenalan tersebut digunakan suspek untuk pendaftaran masuk ke hotel sebelum berjaya ditahan di hadapan Hospital KPJ Perdana Kota Bahru, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek dikesan telah menggunakan kad pengenalan milik individu lain untuk mengelak pergerakannya dikesan.
“Disebabkan itu, pihak hotel tidak dapat mengenal pasti suspek yang diburu oleh polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini.
Mohd Shuhaily berkata, Hafizul Hawari yang berusia 38 tahun itu turut ditahan bersama sepucuk pistol dengan sejumlah peluru hidup.
Katanya, peluru yang ditemui termasuk sebutir peluru hidup di dalam pistol, satu kelopak mengandungi lapan butir peluru hidup dan satu kotak hitam yang mengandungi 24 butir peluru hidup.
Menurutnya lagi, suspek juga tidak memberi kerjasama kepada polis ketika ditahan sehingga berlaku pergelutan.
Turut dirampas pelbagai matawang antaranya Riyal, Baht, enam telefon bimbit pelbagai jenama, pasport dan pakaian.
Mohd Shuhaily berkata, ketika ditahan, suspek masih menggunakan kenderaan yang sama ketika melarikan diri selepas insiden tembakan di KLIA.
Bagaimanapun katanya, nombor pendaftaran kereta berkenaan telah ditukar untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Dalam kejadian di KLIA pada 14 April lalu, Hafizul melepaskan dua das tembakan yang salah satu daripadanya mengenai pengawal peribadi kepada wanita dikenali sebagai Farah Cie iaitu isteri suspek.
Suspek dan isteri dikatakan terlibat dalam perniagaan pelancongan umrah dan haji.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune