Jenayah & Mahkamah

PDRM giatkan usaha kesan Hafizul

KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menggiatkan usaha mengesan suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut mengumpul maklumat daripada ahli keluarga dan kenalan rapat bagi mengesan kedudukan dan keberadaan suspek ketika ini.

“Kita sedang kumpul maklumat yang diperlukan bagi mengesan keberadaannya. Sekecil-kecil maklumat yang diterima juga amat penting dalam mengesan suspek,” katanya kepada portal BH Online, hari ini.

Mengenai dakwaan mengatakan suspek yang dikenali sebagai Hafizul Hawari, 38, pada hari kejadian berada di Makkah, Razarudin menafikan perkara itu.

“Suspek telah pun dikenal pasti oleh saksi utama di lokasi kejadian dan pihak polis berusaha kesan dia,” katanya.

Antara langkah lain dilakukan termasuk mengetatkan kawalan di sempadan negara termasuk meningkatkan pemantauan di lorong-lorong tikus bagi memastikan Hafizul tidak meloloskan diri ke negara jiran.

“Kita (polis) juga mengedarkan foto suspek di semua pintu masuk negara di utara tanah air dan pihak berkuasa negara jiran,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, suspek melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya.

Tembakan pertama tersaar namun tembakan kedua terkena pengawal peribadi wanita itu.

Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.

Show More

Related Articles

Back to top button