Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Isteri mangsa tembak di KLIA ucap syukur suspek berjaya diberkas

CYBERJAYA – Isteri kepada mangsa tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meluahkan rasa syukur apabila mendapat tahu suspek yang menembak suaminya telah berjaya diberkas polis di Kota Bharu, Kelantan pada pukul 3 petang hari ini.

Siti Noraida Hassan, 38, berkata beliau mengucapkan terima kasih, syukur dan lega selepas menerima berita tersebut serta memuji pihak Polis  Diraja Malaysia (PDRM) kerana bertindak dengan sangat pantas.

“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah. Keduanya saya berasa lega kerana pihak polis cepat menjalankan tugas dan terima kasih rakyat Malaysia kerana telah mendoakan suami saya,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Siti Noraida melawat suaminya di Hospital Cyberjaya di sini.

Menurutnya, hari ini tiada perkembangan baharu tentang suaminya yang masih kritikal dan telah ditidurkan akibat tembakan yang telah mengena usus kecil mangsa.

“Bila doktor kata suami saya telah ditembak, saya terkejut dan diminta untuk segera ke hospital. Ketika saya sampai suami saya telah masuk ke bilik pembedahan. Saya diberitahu tembakan itu telah mengena usus kecil suami saya,” katanya.

Dalam pada itu, suami mangsa tembakan itu akan menjalankan pembedahan besar pada Selasa (esok) dan perkembangan tentang mangsa akan dapat diketahui esok.

“Doktor beritahu dia masih dalam kritikal dan akan diketahui perkembangannya esok selepas pembedahan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau memohon agar semua rakyat Malaysia mendoakan pembedahan suaminya esok berjalan lancar dan dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

“Harapan saya semoga suami saya kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa, saya tahu dia suami yang baik, bapa yang baik, anak yang baik dan semua orang sayangkan dia. Saya mohon semua rakyat Malaysia doakan dia untuk pembedahan esok,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button