Berita Semasa

Suami isteri maut rempuh pokok

JELI – Suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi mereka terbabas di Kampung Bukit Tok Ali, Jalan Persekutuan Jeli-Dabong pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob, berkata siasatan awal mendapati, motosikal berkuasa tinggi jenis BMW ditunggang mangsa dari arah Jeli ke Dabong dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

“Akibat kemalangan itu, penunggang, Saharudin Mohd Yusoff, 50, dan Azilawati Jusoh, 50, cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Balah.

“Jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk bedah siasat,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Sementara itu, Mokhtar abang kepada mangsa berkata, kebiasaan pasangan suami isteri berkenaan pulang ke kampung menggunakan kereta, namun tidak menyangka keputusan pulang beraya kali ini dengan motosikal meragut nyawa mereka.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada pihak polis kira-kira jam 9.30 pagi namun akibat kesesakan jalan raya dia hanya sempat menatap wajah kedua-dua mangsa di Unit Forensik Hospital Jeli.

“Pada awalnya, saya dimaklumkan hanya Saharudin yang meninggal dunia dan dalam perjalanan ke hospital, saya sekali lagi menerima panggilan telefon memaklumkan Azilawati juga sudah tiada.

“Saya diberitahu arwah Azilawati sempat memberikan kata laluan telefon bimbitnya kepada orang awam yang membantu sebelum dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berhampiran.

“Sebaik selesai urusan bedah siasat, mereka dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi, Chetok, Pasir Mas, jam 4 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi BH online hari ini.

Mokhtar berkata, arwah Azilawati disifatkan seorang yang peramah dan pasangan suami isteri itu minat dengan dunia permotoran berkuasa tinggi sejak 10 tahun lalu.

“Mereka bergerak pulang awal sehari sebelum hari raya dengan motosikal dari Sepang, Selangor ke Chetok, Pasir Mas kerana mahu mengelak kesesakan lalu lintas,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button