Berita Semasa

MCMC sita kad sim, telefon bimbit pengendali media sosial

Bantu siasatan penularan video lama dengan teks yang mengelirukan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita kad sim dan telefon bimbit pengendali akaun media sosial MyNewsHub bagi membantu siasatan penularan video berjudul “Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!”.

MCMC dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, pengendali tersebut hadir ke pejabat MCMC di sini pada pukul 8.40 malam semalam bagi dirakam percakapannya.

“Rakaman percakapan ini adalah susulan tindakan suspek tersebut memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

“Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” kata MCMC.

MCMC berkata, pihaknya memandang serius tindakan suspek memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

“Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

“Muat naik kandungan yang mempunyai niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain seumpama ini adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” kata MCMC lagi.

Jika sabit kesalahan, akta ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“MCMC turut ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu,” kata kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button