Berita Semasa

KPM perluas pengambilan guru PISMP kepada lepasan STPM, STAM, Matrikulasi

KUALA LUMPUR – Bagi menangani masalah kekurangan guru, Kementerian Pendidikan (KPM) meluaskan pengambilan calon guru kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi.

Menurut KPM, perluasan pengambilan calon guru tersebut adalah bagi mengikuti latihan pra perkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Katanya, langkah meluaskan pengambilan calon guru tajaan KPM itu bermula bagi pengambilan tahun ini.

Justeru itu, ia akan membuka peluang kepada lebih ramai calon yang berminat menjadi guru untuk memohon kemasukan ke program PISMP.

“Ia juga dapat memastikan calon terbaik dapat dipilih bagi mengikuti program ini selain membuktikan komitmen berterusan KPM dalam menangani isu kekurangan guru.

“Inisiatif ini juga bagi memastikan kualiti calon guru terbaik yang dapat menyumbang kepada agenda reformasi pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah KPM, calon yang terpilih akan dilatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk tempoh kursus selama empat tahun.

Sebelum ini, KPM mengakui mengalami kira-kira 20,000 kekurangan guru susulan guru bersara wajib dan guru bersara pilihan dengan peratusan kekosongan guru tertinggi direkodkan di sekolah kebangsaan (SK).

Show More

Related Articles

Back to top button