Berita Semasa

Orang utan mampu membiak, tinggal di ladang sawit – NGO

PETALING JAYA– Sebuah kajian populasi orang utan di Sabah menunjukkan haiwan ini mampu terus berkembang biak walaupun hanya tinggal di dalam ladang kelapa sawit.

Menurut NGO pemeliharaan orang utan, HUTAN, hasil kajian menunjukkan bahawa orang utan mampu beradaptasi dengan ladang kelapa sawit sebagai habitat mereka ketika kajian itu dilakukan di persekitaran ladang kelapa sawit di Sabah.

“Temuan utama kajian ini adalah penggunaan oleh orang utan terhadap pokok kelapa sawit sebagai tempat bersarang dan sumber makanan.

“Kira-kira 90 peratus tanda kehadiran orang utan dalam ladang kelapa sawit dikenal pasti kira-kira 50 meter dari kawasan belukar.

“Mereka memakan pucuk muda dan buah kelapa sawit yang masak, serta sisa buah sawit telah ditemui dalam najis mereka.

“Para penyelidik juga menemukan bahawa orang utan tidak menyebabkan penurunan hasil buah kelapa sawit meskipun merusakkan daun pokok,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, kajian ini merupakan kelanjutan dari penyelidikan sebelumnya yang dilakukan oleh HUTAN-Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan pada tahun 2008 hingga 2012.

Katanya, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Jabatan Hidupan Liar Sabah dan HUTAN telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk meneruskan kajian populasi orang utan di Sabah dari tahun 2023 hingga 2025 pada 8 September 2023 lalu.

Dalam pada itu, kajian ini merupakan usaha yang disokong oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan peruntukan sebanyak RM1.23 juta.

Ujarnya, beberapa penyelidik telah menulis sebuah jurnal yang telah diterbitkan secara dalam talian oleh Cambridge University Press pada 30 Mei 2014, berjudul “Of Pongo, palms and perceptions: a multidisciplinary assessment of Bornean orangutans Pongo pygmaeus in an oil palm context”.

“Jurnal tersebut menyatakan kebarangkalian pekerja ladang sawit untuk bertemu orang utan di Sabah adalah tinggi, dengan 90 peratus responden melaporkan mereka telah melihat orang utan di ladang kelapa sawit, berbanding dengan hanya 42 peratus yang melihat mereka di hutan Kalimantan,” jelasnya.

Jurnal tersebut boleh diakses secara dalam talian di laman sesawang Cambridge University Press di https://www.cambridge.org/.

Show More

Related Articles

Back to top button