Berita Semasa

Fahmi bertemu wakil Meta, Tiktok hari ini

Bincang isu keselamatan dalam talian, pemantauan kandungan berunsur jenayah

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi hari ini telah mengadakan pertemuan dengan pengendali rangkaian media sosial, Meta dan TikTok bagi membincangkan mengenai keselamatan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dalam pertemuan berasingan berkenaan, beliau telah memperoleh komitmen kedua-dua pihak dalam isu pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

Fahmi menunjukkan sesuatu di telefon bimbitnya kepada wakil pengendali daripada Tiktok.

“(Selain itu) perbincangan tersebut turut menyentuh mengenai pemantauan kandungan berunsurkan jenayah seperti judi dalam talian, scam, berita palsu dan 3R (Race, Religion and Royalty),” kata Fahmi dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.

Meta, yang mengendalikan platform Facebook, Instagram dan Whatsapp diwakili oleh Pengarah Polisi Awam (Asia Tenggara), Rafael Frankel, manakala Tiktok diwakili oleh Pengarah Polisi Awam (Asia Tenggara), Shinto Nugroho.

Hadir sama, Timbalan Menteri, Teo Nie Ching, serta wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Fahmi seterusnya berkata, wakil kedua-dua pengendali tersebut turut diberi makluman mengenai perancangan Kerajaan menambahbaik undang-undang serta garis panduan operasi platform media sosial di Malaysia.

“Ini sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjamin hak bersuara rakyat Malaysia sambil memastikan kegunaan internet yang produktif, harmoni dan selamat untuk semua,” kata Fahmi lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button