Berita Semasa

Cakna, beri perhatian serius terhadap isu sensitif babitkan agama, kaum – JAKIM

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan semua pihak supaya cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu sensitif membabitkan agama serta kaum.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu logo kasut didakwa mirip kalimah Allah yang menjadi tular baru-baru ini kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam serta boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau dan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn. Bhd., Datuk Seri Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan serta langkah-langkah pihak syarikat untuk mengelakkan isu seperti itu berulang lagi.

“Syarikat berkenaan telah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut serta memohon maaf.

“Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hakimah turut menyokong usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengadakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jika terdapat elemen disengajakan dalam isu tersebut.

Kata Hakimah lagi, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes itu telah pun dibuka kertas siasatan oleh pihak PDRM.

Show More

Related Articles

Back to top button