Jenayah & Mahkamah

3 suspek tembak anggota Maritim Malaysia dikehendaki ESSCOM

TAWAU – Tiga suspek kejadian tembakan di perairan Kunak yang mengakibatkan dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera dipercayai dari kumpulan yang berada dalam senarai dikehendaki pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Menurut Maritim Malaysia dalam satu kenyataan, pihaknya percaya kesemua suspek merupakan individu yang terlibat dalam siri rompakan di laut serta berkemungkinan mempunyai jaringan dengan beberapa kumpulan jenayah rentas sempadan.

“Berdasarkan maklumat berkenaan, Maritim Malaysia telah mengatur gerakkan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat (STAR Team), pasukan pesawat udara Maritim Malaysia, pasukan Perisikan Maritim serta dibantu pasukan ESSCOM bagi mengesan dan memburu kesemua suspek tersebut,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada pagi semalam, sebuah bot enjin sangkut berwarna biru, yang dinaiki suspek telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 milik Maritim Malaysia ketika anggota bot cuba mendekati bot suspek untuk pemeriksaan rutin Operasi Khas Pagar Laut.

Berikutan itu, anggota penguat kuasa Bot Banggi 48 yang terdiri seramai enam
orang anggota membalas tembakan ke arah suspek sebagai tindakan
mempertahankan diri serta cubaan menangkap kesemua suspek tersebut.

Suspek kemudiannya melarikan diri dengan memecut laju bot yang sama ke arah sempadan perairan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut
diminta untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Maritim Malaysia turut menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button