Jenayah & Mahkamah

Polis tahan lelaki rakam video tular rosakkan patung berhala

MANJUNG – Pihak polis telaha menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes merosakkan patung berhala di sebuah tokong di Kampung Koh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Taiping, pada pukul 9.30 malam tadi.

“Polis turut merampas satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk merakam video terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian itu pada pukul 1.30 petang.

Pengadu berusia 56 tahun bertindak membuat laporan selepas menerima rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki merosakkan peralatan tokong.

Video tular berdurasi 41 saat di aplikasi X itu memaparkan seorang lelaki merakam perlakuan dirinya merosakkan satu patung berhala di tokong dengan menggunakan kaki.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan sekali gus boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Selain itu juga, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button