Berita Semasa

Pemandu bas ekspres buat siaran langsung semasa memandu akan dikenakan tindakan tegas

ALOR SETAR – Mana-mana pemandu bas ekspres yang dikesan membuat rakaman langsung melalui media sosial semasa memandu pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 akan dikenakan tindakan tegas.

Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, pegawai penyamaran akan ditempatkan di setiap bas ekspres untuk memantau pemandu bagi memastikan tiada pemandu yang melakukan kesalahan terbabit.

“Kita turut alu-alukan kerjasama orang awam untuk merakam video atau gambar jika ada pemandu yang bertindak sedemikian dan menghantar kepada kami.

“Sebelum ini, memang ada kes seperti ini tetapi untuk Ops HRA kali ini, belum ada aduan diterima setakat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai Ops HRA 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini malam tadi.

Lokman berkata, jika pegawai penyamaran mengesan pemandu terbabit melakukan kesalahan semasa memandu, tindakan terus akan dikenakan serta-merta, namun perjalanan tetap boleh diteruskan selepas itu.

Justeru, orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan secara terus atau real time dengan menggunakan aplikasi My JPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan.

Pada sidang akhbar sama, beliau berkata, sebanyak 39,066 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kerana gagal mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya dalam tempoh lima hari sempena operasi khas HRA 2024.

Menurutnya, jumlah notis saman yang dikeluarkan tersebut adalah sebanyak 24 peratus daripada 163,558 kenderaan yang diperiksa bermula 1 hingga 5 April lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button