Berita Semasa

Penunggang motosikal maut terlanggar pintu kereta dibuka secara tiba-tiba

BACHOK – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar pintu kereta yang dibuka secara tiba-tiba di Jalan Pasir Puteh-Machang/Gerik di Kampung Felcra Teratak Batu semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kejadian berlaku apabila pemandu sebuah kereta Proton Persona membuka pintu untuk keluar di tepi jalan menghala ke Machang.

“Mangsa yang menunggang motosikal Honda Dash dari arah yang sama melanggar pintu kereta tersebut sebelum hilang kawalan dan tercampak ke laluan bertentangan.

“Sebuah Perodua Alza dari arah bertentangan telah merempuh mangsa yang berada di laluan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, mangsa berusia 37 tahun itu mengalami kecederaan di kepala dan kemudiannya meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 11.30 pagi semalam.

“Mangsa yang telah meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat. Kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Sementara itu, pemandu Perodua Alza itu merupakan lelaki berusia 42 tahun.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Show More

Related Articles

Back to top button