Jenayah & Mahkamah

Video raya jelik: Aliff Syukri diambil keterangan MCMC, PDRM

CYBERJAYA – Usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di ibu pejabat MCMC di sini hari ini.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan dia susulan aduan yang diterima berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.

“Setelah kertas siasatan siap, ianya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk
tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut MCMC, klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588].

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu katanya, MCMC turut menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button