Berita Semasa

SKMM diarah ambil tindakan video Aliff Shukri

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya susulan video klip hari raya yang dimuat naik usahawan kosmetik, Datuk Aliff Shukri.

Beliau berkata, kementeriannya menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang menyatakan rasa kurang senang terhadap video muzik bertajuk “Love Raya” itu.

Katanya, walaupun video berkenaan sudah diturunkan oleh Aliff selepas menerima pelbagai kritikan, perkara tersebut perlu diteliti oleh SKMM.

“Saya telah meminta SKMM meneliti perkara ini. Jika SKMM mendapati ada keperluan untuk menjalankan siasatan, maka ia akan dilakukan.

“Buat masa ini, kita biarkan dahulu,” katanya pada Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Fahmi di sini malam ini.

Video Love Raya yang dimuat naik Aliff Shukri baru-baru memaparkan dirinya bersama sekumpulan lelaki yang menari secara menjolok mata.

Semalam, pempengaruh media sosial itu mendakwa telah memadamkan video yang disiarkan itu dengan niat sebagai gurauan April Fool.

Sehubungan itu, Fahmi menggesa golongan pempengaruh media sosial supaya lebih sensitif dan peka terhadap kandungan yang dimuat naik.

“Kami bimbang ada kandungan media sosial yang boleh memberi kesan negatif, terutamanya kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun. Ini isu besar,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata beliau akan bertemu dengan tiga pengendali platform media sosial bagi memastikan kandungan yang dimuatnaik selamat kepada orang ramai.

“Khamis ini saya akan bertemu dengan Telegram dan pada hari Isnin saya akan bertemu dengan Meta dan TikTok.

“Kami mungkin perlu membuat beberapa keputusan untuk memastikan platform media sosial selamat digunakan dan tidak akan digunakan oleh kanak-kanak di bawah 13 tahun,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button