Musim haji: Penerbangan pertama jemaah Malaysia pada 9 Mei
KUALA LUMPUR – Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 9 Mei.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman, bagi penerbangan terakhir pula telah dijadualkan pada 9 Jun ini.
“Insya Allah hari wukuf adalah pada 15 Jun 2024,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman agihan keuntungan TH di sini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Megenai kuota rasmi jemaah haji bagi Malaysia, Syed Hamadah berkata, angka berkenaan kekal pada 31,600 orang seperti diumumkan kerajaan Arab Saudi sebelum ini.
“Pihak TH telah berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dan ia masih terlalu awal untuk mendapatkan jawapan,” katanya.
Setakat ini, keseluruhan 31,600 bakal jemaah haji sudah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
“Kebanyakan (yang menerima tawaran) adalah mereka yang gilirannya memang jatuh pada 1445H (tahun ini) dan juga ada yang tertangguh dari tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, kira-kira enam peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji adalah mereka yang membuat rayuan untuk menunaikan ibadah itu.
Mengenai perancangan penelitian semula kadar minimum deposit pendaftaran haji iaitu RM1,300 ketika ini, Syed Hamadah berkata, hal itu masih dalam kajian TH dan belum ada keputusan muktamad berkenaan perkara terbabit.
“Insya Allah, mungkin dalam masa terdekat kita akan membuat pengumuman mengenai perkara ini,” katanya.
Berhubung perkembangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan berhubung laporan pengurusan serta pengoperasian TH, sama ada didedahkan kepada umum atau sebaliknya.