Berita Semasa

Lawatan keluarga klien AADK sempena Aidilfitri bermula 15 April

KAJANG – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengadakan sesi lawatan khas untuk keluarga atau penjaga klien AADK yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut AADK, lawatan itu akan diadakan di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara bermula pada 15 April hingga 19 April bagi negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Disamping itu, 14 April hingga 18 April bagi negeri Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah.

“Lawatan ini bertujuan merapatkan hubungan antara klien dengan keluarga, mendapatkan sokongan moral dan emosi serta keluarga boleh melihat sendiri perkembangan kepulihan klien yang mengikuti Program RPDI AADK.

“Ia juga memberi ruang dan peluang antara keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong kepulihan klien,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, AADK meminta agar semua peserta yang berminat supaya menghubungi Pegawai Pemulihan di PUSPEN masing-masing melalui panggilan telefon; mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp; surat atau e-mel.

Sementara itu, sebarang maklumat lanjut berkenaan lawatan ini, orang ramai boleh menghubungi PUSPEN atau talian hotline AADK di talian 1-800-22-AADK (2235) atau melalui Whatsapp (019-626 2233) bagi mendapatkan khidmat nasihat atau aduan berkaitan permasalahan dadah.

Show More

Related Articles

Back to top button