Berita Semasa

Bantuan Aidilfitri beri kelegaan kepada penjawat awam

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, ini merupakan penghargaan Perdana Menteri kepada usaha keras penjawat awam selama ini.

Beliau berkata, bantuan ini juga bukti Perdana Menteri sentiasa terbuka mendengar pandangan daripada CUEPACS walaupun terdapat khabar yang kerajaan tidak akan memperuntukkan bantuan khas itu.

“CUEPACS sebelum ini telah beberapa kali mencadangkan kepada kerajaan agar tradisi memberikan bantuan khas untuk Aidilfitri walaupun penjawat awam telah menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 pada Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika mengumumkan berita gembira itu turut memaklumkan bantuan khas ini akan disalurkan pada 5 April ini.

Sementara itu, Adnan berkata, CUEPACS percaya bantuan khas ini turut memberi manfaat dan akan memberikan impak yang positif kepada ekonomi sekaligus dapat memanfaatkan peniaga dan sektor ekonomi yang lain.

Show More

Related Articles

Back to top button