Berita Semasa

Ketua Pemuda UMNO perlu letak jawatan – Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Bekas naib presiden MCA, Senator Ti Lian Ker menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh meletak jawatan susulan kenyataan berbaur ketegangan kaum dalam isu penjualan stoking oleh kedai serbaneka KK Mart, baru-baru ini.

Lian Ker berkata, Akmal harus berundur dari jawatan itu kerana kelantangannya mempertahankan Islam tanpa menjaga sensitiviti parti-parti sekutu iaitu MCA dan MIC.

“Akmal harus bertanggungjawab dan berundur daripada jawatan seperti yang dijanjikannya.

“Ada ramai lagi pemimpin Pemuda Umno yang lebih bertanggungjawab dan tidak bengkeng,”katanya di platform X hari ini.

Lian Ker berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Akmal yang akan meneruskan boikot terhadap kedai KK Mart sekiranya tiada permohonan maaf dibuat secara terbuka dengan cara menggantung notis di premis.

Akmal sebelum itu berkata beliau lebih rela ‘hilang jawatan’ daripada tidak mempertahankan Islam dalam isu stoking berkalimah Allah itu.

“Saya tidak kisah DAP atau mana-mana menteri mahu serang saya, tetapi saya bercakap, saya berdiri atas agama saya. Kalau Nga Kor Ming kata bila saya buat begini boleh hilang sokongan, saya nak beritahu mereka ini cara Umno bila ada pihak yang persendakan agama Islam.

“Saya rela hilang jawatan, tanggungjawab sudah saya laksanakan untuk bela agama saya. Jawatan ini nombor dua,” kata Akmal.

Kenyataan Akmal berhubung saranan memboikot KK Mart itu kemudian disokong oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang disuarakan oleh Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Show More

Related Articles

Back to top button