Berita Semasa

Hina Islam: PEKIDA desak kewarganegaraan Ganesparan dilucut

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera terhadap seorang individu yang telah mengeluarkan kenyataan menghina Islam, Melayu, dan raja-raja Melayu.

Presiden PEKIDA, Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, tindakan individu yang bernama N. Ganesparan itu dilihat sebagai serangan terhadap kesucian Islam, martabat bangsa Melayu, serta kehormatan raja-raja Melayu dan negara Malaysia.

“Tindakan yang dibuat oleh Ganesparan ini ternyata sangat tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia khususnya orang Islam. Kenyataan yang dikeluarkan bukan hanya menghina agama Islam, orang Melayu dan raja-raja Melayu malah dia juga turut menghina para peminpin dan negara ini serta mencabar pihak berkuasa dan sistem undang-undang negara.

“Atas dasar tanggungjawab mempertahankan kesucian Islam, bangsa Melayu dan maruah raja-raja Melayu serta negara Malaysia yang tercinta, PEKIDA telah membuat laporan polis dan disusuli oleh puluhan laporan polis oleh NGO-NGO dan individu namun sehingga hari ini pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih gagal untuk menangkap individu ini kerana dia berada di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil agar menjadi pengajaran buat semua bangsa untuk tidak membuat perbuatan demikian.

Sementara itu Foad berkata, beliau dan badan-badan NGO lain mendesak Menteri Dalam Negeri untuk segera mengambil langkah melucutkan kewarganegaraan Ganesparan sebagai hukuman yang setimpal kepadanya.

“Individu sepeti ini tidak harus diberikan tempat di dalam negara ini. Tindakan kurang ajar, rasis dan tidak bertanggungjawab dengan menghina agama Islam, bangsa Melayu dan Raja- raja Melayu serta memburukkan pemimpin dan negara Malaysia adalah sesuatu yang sangat serius dan tidak boleh dimaafkan,” katanya lagi.

Ujarnya, PEKIDA berharap agar langkah yang diambil oleh pihak berwajib sebagai usaha menjaga kedaulatan dan keharmonian negara.

Baru-baru ini polis telah membuka kertas siasatan terhadap Ganesparan yang menghina agama Islam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan PDRM.

Sejak 2018 sehinggalah hari ini, sebanyak 22 kes yang menyentuh sensitiviti 3R membabitkan Ganesparan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka terhadap lelaki itu dan dijangka akan meningkat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu kini dipercayai berada di Hamburg, Jerman selepas kali terakhir keluar pada 2 November 2017.

Show More

Related Articles

Back to top button