Berita Semasa

21 penyelam sertai fasa 2 pencarian kotak hitam helikopter Maritim Malaysia

PUTRAJAYA – Pencarian kotak hitam helikopter AW139 yang melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa pada 5 Mac lalu kini memasuki fasa ke dua dengan keanggotaan seramai 21 penyelam dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kumpulan penyelam berhadapan kesukaran mencari kotak hitam berkenaan akibat keadaan arus deras di dasar laut selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut yang berlumpur.

“Pencarian memfokuskan keluasan lokasi antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan petanda daripada ‘pinger’.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam berkenaan dipercayai berada di sekitar 700-800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaubagaimanapun Hamid berkata, pihak Maritim Malaysia yakin akan menjumpai kotak hitam berkenaan dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini kotak tersebut dikesan.

Selain penyelam dari Maritim Malaysia, misi pencarian itu turut melibatkan kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd.

Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar 1 kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas.

 

Show More

Related Articles

Back to top button