Berita Semasa

Pemuda UMNO kecam tindakan baling bom ke kedai KK Mart

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengecam insiden melampau membabitkan sebuah kedai serbaneka KK Mart dibaling bom petrol dalam satu kejadian di Jalan Bruseh, dekat Bidor di Perak semalam.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat, seterusnya mengenakan tindakan keras kepada pihak terbabit.

“Kita mengecam sekeras-kerasnya isu insiden melampau yang membaling bom petrol ke KK Mart dan ugutan bunuh terhadap saya.

“Walaupun diugut bunuh, pendirian saya dan seluruh umat Islam Malaysia tidak akan berganjak untuk kita teruskan kempen #boikotkkmart ini agar menjadi pengajaran keras untuk semua untuk tidak memperlekehkan agama Islam di bumi ini.

“Untuk meredakan keadaan, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya untuk mereka ini. Terus boikot,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan siasatan awal polis mendapati bom petrol yang dilempar ke sebuah kedai serbaneka dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang menaiki kereta awal pagi semalam.

Mohd Yusri berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai terbabit mendapati, sebuah kereta berwarna gelap yang mempunyai pelekat warna merah ‘Lalamove’, berhenti di tepi jalan kira-kira jam 5.35 pagi.

Dalam pada itu, Dr Akmal menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya polis yang membawa kes ini sehingga ke peringkat pendakwaan di mahkamah semalam.

“Kita menghormati proses undang-undang untuk dilaksanakan mengikut aturannya, tetapi pada masa sama kempen boikot KK Mart ini perlu diteruskan agar ia memberikan pengajaran hebat kepada mereka dan mana-mana pihak yang ingin menghina agama Islam pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button