Berita Semasa

TVET Selangor akan terus diperkasa – MB

CYBERJAYA – Kerajaan Negeri Selangor berikrar untuk terus meningkatkan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negeri ini sekaligus menyediakan pekerjaan bergaji tinggi dalam bidang itu.

Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari berkata, usaha itu termasuk memastikan standard pendidikan yang disediakan oleh institusi TVET setara dengan kehendak industri.

Beliau berkata, antara sektor yang dikenal pasti memerlukan segera tenaga kerja berkemahiran tinggi termasuk industri elektrik dan elektronik (E&E), bioteknologi, aeroangkasa dan pembuatan rel.

“Atas sebab itu kita berusaha menambah baik ekosistem TVET untuk memastikan kita dapat menarik pelajar berpotensi serta melahirkan pekerja berkemahiran tinggi dan menawarkan pekerjaan bergaji tinggi kepada mereka.

“Kita akan bekerja keras dan memastikan institusi pendidikan itu setara dengan kehendak industri. Kita mahu apa dikehendaki industri dan apa ditawarkan industri setanding,” katanya selepas melancarkan Ekspo Pendidikan TVET dan Kerjaya Badan Beruniform baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau juga memaklumkan kerajaan bercadang menaik taraf Universiti Selangor (Unisel) menjadi universiti teknikal dan vokasional serta membangunkan modul program yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) untuk memenuhi permintaan industri.

“Selepas itu kita akan masuk ke sekolah menengah supaya kita dapat membentuk pelajar tingkatan tiga hingga lima. Ini sebahagian usaha untuk memperkasakan ekosistem teknikal dan vokasional yang dilaksanakan.

“Ini antara perkara terkandung dalam Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor yang saya bentangkan sebelum pilihan raya (tahun lepas) untuk menawarkan 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button