Berita SemasaPM X

PM tegur majlis perbandaran kenakan harga tapak bazar Ramadan terlalu tinggi

KUALA LUMPUR – Kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari enam kepada lapan peratus bukanlah punca kepada kenaikan harga juadah berbuka puasa di bazar Ramadan kali ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, ia adalah disebabkan kos sewa tapak yang terlalu tinggi dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Justeru itu, Anwar mengarahkan PBT di seluruh negara agar tidak menekan peniaga dengan mengenakan kos sewa tapak terlampau tinggi kerana tidak ada sebab PBT untuk berbuat demikian.

“Saya akui ada impak kecil (kesan daripada) kenaikan harga, tetapi saya tidak fikir (kenaikan harga juadah di bazar Ramadan) kerana SST menyebabkan kenaikan. 

“Kalau secara spesifik soal bazar Ramadan yang saya dapat lawati di empat lima tempat, pertamanya kos sewa (tapak) itu terlalu tinggi. 

“Jadi kita telah memberikan arahan, kalau kos itu yang dikendalikan oleh majlis perbandaran, jangan tekan (sewa tapak) dalam keadaan sekarang,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membangkitkan pertanyaan kenaikan SST bermula 1 Mac telah mengundang rungutan peniaga bazar Ramadan.

Takiyuddin berkata, adakah kenaikan SST
menyebabkan peniaga bazar Ramadan kerugian dan tidak dapat membayar kos sewa tapak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selain daripada kos sewa tapak yang terlalu tinggi, PBT juga didakwa menyerahkan pengendaliannya kepada ejen-ejen.

“Akhirnya, penyewa tidak menyewa secara langsung daripada majlis perbandaran. Jadi kos (sewa) meningkat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button