Berita Semasa

Kerajaan sedang pertimbang pemberian subsidi menerusi pindahan tunai bulanan

SHAH ALAM – Kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, berbanding sebelum ini, subsidi kerajaan diserap terus ke dalam harga barangan yang dinikmati semua pengguna tanpa mengira tahap pendapatan serta status kerakyatan, termasuk rakyat asing.

“Cadangan yang diangkat kepada kerajaan sekarang sedang dibincangkan dan yang akan diputuskan ialah bantuan dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan.

“Sebelum ini, kalau ada bantuan kerajaan lain, kita bagi tiga atau empat bulan sekali melalui e-wallet dan sebagainya,” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog awam berkenaan Pangkatan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Cadangan berkenaan, kata Rafizi lagi, kali pertama ditawarkan kepada rakyat berbanding sebelum ini.

“Melalui PADU, kita mahu ada reformasi bantuan sosial rakyat untuk jangka masa panjang. Sebab itu, melalui model pindahan tunai bulanan, ia lebih kurang seperti tambahan gaji bulanan, RM300 atau RM400 sebulan, bergantung kepada keadaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan itu turut berkata, kerajaan tidak boleh menunda tarikh tutup pendaftaran PADU kerana perlu mematuhi jadual piawaian yang telah ditetapkan atau terpaksa menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion sebulan sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar ditangguhkan.

“Kos itu sangat tinggi dan itu pun jangkaan secara konservatif, sedangkan lebih baik sekiranya RM2 bilion itu disalurkan kepada keluarga yang memerlukan.

“Kalau kita lanjutkan, itu bermakna kita akan terus menolak garis masa pelaksanaan itu ke belakang,” katanya sambil menambah, tumpuan kerajaan bukan sekadar menjaga harga barangan semata-mata, sebaliknya menangani kos sara hidup menerusi usaha meningkatkan pendapatan bulanan isi keluarga.

Show More

Related Articles

Back to top button