Berita Semasa

Penjawat awam Selangor terima bantuan Aidilfitri sebulan gaji

SHAH ALAM – Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 akan diberikan kepada penjawat awam Selangor sempena Aidilfitri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan tersebut akan mula disalurkan pada 8 April depan.

“Sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri yang sedang berkhidmat di bawah pentadbiran Setiusaha Kerajaan (SUK).

“Bantuan sama akan diterima penjawat awam kerajaan persekutuan yang berkhidmat bawah SUK,” kata beliau dalam ucapannya pada Majlis Mahabbah Ramadan Madani di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa penggerak masjid seperti nazir, imam, bilal, siak serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) akan menerima bantuan berjumlah RM500.

Katanya lagi, bantuan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM45 juta itu turut akan diberikan kepada kumpulan pemimpin masyarakat sebanyak sebulan gaji.

Ini termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan perkampungan (Kampung Baru, Bagan, Tersusun), ketua komuniti India, penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor.

Show More

Related Articles

Back to top button