Berita Semasa

Isu stoking : Shuib sedia lepas status Duta KK Mart

KUALA LUMPUR – Walaupun berstatus duta kepada rangkaian kedai serbaneka terkenal KK Super Mart, pelawak Shuib tidak teragak-agak melepaskan jawatan itu sekiranya syarikat berkenaan didapati bersalah dalam penjualan stoking bercetak kalimah Allah, baru-baru ini.

Beliau yang baharu sahaja memperbaharui kontrak selepas dilantik Duta KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) sejak empat tahun lalu juga menyifatkan tindakan penjualan seumpama itu suatu perbuatan yang keji.

“Apa yang berlaku itu sangat keji . Sebagai umat Islam, saya sangat terkesan dan ia tidak sepatutnya berlaku dalam perniagaan atau apa juga situasi.

“Kita akan marah kerana isu kalimah Allah ini sangat besar,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Syuib berkata, walaupun diberi tanggungjawab sebagai ‘ikon’ kepada jenama berkenaan, beliau tidak memilih untuk bersikap neutral dalam isu kontroversi itu.

“Saya sentiasa percaya kepada rezeki. Kalau memang tiada rezeki saya, maka tiadalah. Kalau ada rezeki saya, adalah.

“Tetapi macam mana pun, saya tetap kena letak pendirian bahawa saya adalah seorang Islam.

“Saya akan berdiri sebagai seorang umat Islam di mana apabila perkara itu tidak betul, salah, dan melanggar peraturan, saya tidak akan sokong,” katanya pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Bagaimanapun katanya, sebarang tindakan lanjut akan diputuskan selepas siasatan pihak berkuasa mengenai perkara itu selesai.

“Perkara ini masih belum selesai dan siasatan sedang dilakukan. Jadi, saya tidak boleh hendak ulas lanjut kerana ini melibatkan perniagaan dan sensitiviti masyarakat.

“Kalau benar, saya tidak akan sokong, saya tidak akan mengiyakan langsung. Ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam,” ujarnya.

KK Super Mart sebelum ini tular selepas salah sebuah daripada rangkaian kedai serbanekanya menjual stoking berjenama Miranosock yang memaparkan tulisan Allah.

Show More

Related Articles

Back to top button