Berita Semasa

TDM dijangka terima helikopter Black Hawk pertama April depan

KUALA LUMPUR – Tentera Darat (TDM) dijangka akan menerima penghantaran pertama helikopter jenis Black Hawk, pada April depan.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, penghantaran itu melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan bagi kegunaan Pasukan Udara TDM (PUTD).

Helikopter itu, yang sepatutnya diterima pada November lalu, mengalami kelewatan akibat beberapa kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar.

“Bagaimanapun, kontraktor telah memberikan janji untuk menghantar helikopter pertama pada April ini dan saya harap ia dipenuhi,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu di Majlis Berbuka Puasa TDM di Masjid Thoriq bin Ziyad, Kem Perdana Sungai Besi, di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri.

Ketika ditanya selanjutnya mengenai faktor kelewatan itu, Hafizuddeain enggan membuat spekulasi dan menegaskan TDM amat memerlukan helikopter berkenaan bagi tujuan latihan dan operasi.

Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak untuk menyewa empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd selama lima tahun dengan nilai kontrak sebanyak RM187 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button