Berita Semasa

Bayi perempuan meninggal dunia di rumah pengasuh

PUTRAJAYA – Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan enam hari dilaporkan meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 15, di sini semalam.

Difahamkan, bayi malang itu baru sahaja dihantar selama dua hari ke rumah pengasuh tersebut.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Putrajaya pada pukul 1.04 petang semalam.

“Difahamkan, pengadu menerima bayi berkenaan yang dibawa pengasuh pada 11.45 pagi, namun semasa tiba di zon merah bayi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada tanda hidup.

“Pengasuh turut memaklumkan telah melakukan bantuan pernafasan sejak dari rumah dan diteruskan di unit kecemasan selama 30 minit namun bayi itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.16 tengahari,” katanya, hari ini.

Hasil pemeriksaan fizikal ke atas bayi itu tidak menemukan sebarang kesan kecederaan, justeru mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat yang dijadualkan hari ini.

Asmadi turut memaklumkan, polis telah merakam percakapan ibu bapa mangsa dan pengasuh.

“Bapa mangsa memaklumkan anaknya dihantar ke rumah pengasuh ketika hari kejadian dalam keadaan tidak sihat kerana mengalami batuk seminggu sebelum ini.

“Ibu mangsa pula berkata, Isnin lalu, anaknya telah dihantar ke sebuah klinik di Presint 18 untuk pemeriksaan kesihatan dan telah dimaklumkan doktor bahawa keputusan X-Ray menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang masalah.

“Berikutan itu, doktor di klinik memberikan ubat batuk dan ubat gatal dan dia hanya memberikan ubat batuk kepada anaknya itu,” katanya lagi.

Asmadi berkata, rakaman percakapan pengasuh pula mendapati, dia menjaga empat orang kanak-kanak termasuk mangsa.

Tambah Asmadi lagi, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Show More

Related Articles

Back to top button